SURAT KHAS DARIPADA
PENGETUA UNTUK CALON PEPERIKSAAN.
Kepada,
………………………………………….
31.8.2012
Assalamualaikum
Warahmatullahhi Wabarokatuh. Selamat sejahtera.
Apakhabar wahai
anak-anak sekalian. Diharapkan anda semua telah bersiap sedia untuk berjuang di
medan
peperiksaan. Ibarat orang yang ingin menang dalam pertempuran, maka persiapan
fizikal dan mental harus ada pada setiap individu. Jadi di sini ingin saya
turunkan beberapa tips sebagai persiapan menghadapi peperiksaan.
Anakanda sekalian,
Jagalah emosi anda
dan emosi orang lain, jangan wujudkan konflik , kerana ia akan mengundang
masalah dan membantutkan segala persiapan dan perancangan selama ini. Rakan
adalah aset yang sangat berharga kerana daripada mereka anda boleh mohon pandangan dan bantuan.
Jagalah hubungan
dengan masayarakat. Biarkan mereka memandang anda dengan pandangan kasih dan
kasihan. Harapkan juga doa daripada mereka dan sangkaan-sangkaan baik mereka
terhadap anda.
Jagalah hubungan
anda dengan insan yang paling banyak memberi ilmu pada anda iaitu, guru-guru.
Mohon ampun dan mohon halalkan segala ilmu yang dicurahkan. Pandang mereka
dengan pandangan hormat dan penuh taat.
Jagalah hubungan
anda dengan ibubapa. Dapatkan keredhaan ibu dan ayah, supaya doa mudah
dimakbulkan oleh Tuhan. Mohonlah ampun maaf daripada mereka dan harapkan doa daripada
mereka. Sesungguhnya doa yang ikhlas itu amat mujarab, dan pastinya doa yang
ikhlas itu datangnya daripada kalbu seorang ibu yang telah melahirkan kita .
Jangan lupa menjaga
hubungan kita dengan TUHAN. Berdoalah kepada Nya kerana doa adalah ‘inti’ atas
segala usaha. Berdoalah untuk diri
sendiri dan berdoalah juga untuk rakan-rakan lain. Insya Allah anda akan dapat
balasan berganda. Ingatlah, apapun yang kita usahakan, yang akan membuahkan
hasilnya adalah DIA! PEMILIK SEGALA PERBENDAHARAAN . Jadi berbaik sangkalah anda
terhadap Nya.
Saya sentiasa
menganggap anda bagaikan anak sendiri dan saya percaya guru-guru anda juga
begitu.Dalam proses mendidik sudah tentu yang salah ditegur, yang tak betul
dimarahi. Namun saya tidak pernah melupakan anda semasa bermunajat kepada NYA.
Saya mendoakan anda akan mencapai
kejayaan yang luar biasa pada kali ini. Jadikanlah kejayaan itu nanti, sebagai
pencetus kepada kejayaan-kejayaan yang lain selepasnya. Semoga Maju Jaya.
‘Ya Rabb, berikan
kami bantuan daripada sumber yang tidak diduga….dan
berikan kami
kejayaan yang ENGKAU redhai… Amin ’.
Yang benar,
HJH. SA’ADIAH BT.
ALANG ABDULLAH
Pengetua
SMK Raja Chulan
Jalan Dairy, 31400
Ipoh

























